mutakhir

Perak terima 2 pegawai SPRM

Oleh Shamsul Kamal Amarudin

DUA pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan ditempatkan dalam pentadbiran Kerajaan Perak dengan seorang daripadanya di pejabat Menteri Besar.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, seorang pegawai SPRM ditempatkan di Unit Integriti dan Inovasi, Sekretariat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak.

“Jangan bimbang, penempatan ini bukan bertujuan untuk ‘mengintai’ tingkah laku penjawat awam sebaliknya, untuk memperhebat usaha pencegahan rasuah kerana kita tahu amalan rasuah boleh meruntuhkan sesebuah kerajaan,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya di pejabatnya, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki dan Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad.

Ahmad Faizal berkata, kehadiran pegawai SPRM itu diharap dapat membantu Unit Integriti dan Inovasi menyediakan pelan anti rasuah yang akan dijadikan panduan dalam urusan harian kerajaan negeri.

Katanya, selain itu mereka akan membantu kerajaan negeri memberi kefahaman kepada orang ramai mengenai kepentingan menangani masalah rasuah.

Sementara itu, Latheefa berkata, pihaknya bersedia menawarkan pegawai kanan agensi itu yang terlatih agar program pencegahan rasuah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Penempatan pegawai ini sudah dilaksanakan di Perak sebelum ini dan dibuat semula dengan jangkaan selama sebulan,” katanya.

Pada tahun ini, Sabah turut memulakan program penempatan pegawai SPRM bermula 2 Januari lalu, manakala Kedah menyatakan kesediaannya.

Katanya, pihaknya sedang berunding dengan negeri lain untuk tujuan sama.

Disiarkan pada: January 9, 2020 @ 3:56pm
d