mutakhir

19 anggota geng Kabali didakwa

Oleh Hasbi Sidek

SERAMAI 19 individu didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang geng Kabali, tahun lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepada setiap tertuduh berusia 18 hingga 50 tahun itu di hadapan Hakim Mardihah Harullah.

Tertuduh ialah S Prabu, S Viven, S G Ravikumar, S S Subramaniam, G Kartik Rajah, S R C Parkash, R Kamal Rajh, T S G Kartik, U Kartik, B Kalaiarasan, G Yuganraj, K Shastihar, G Murali, S Ilangovan, L Navinraj, K Sarugunan, S Sivabalan, G Thanaselan dan M Puspalingam.

Mengikut pertuduhan mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang geng Kabali di tepi jalan besar Batu 1/2, Jalan Rantau-Siliau, Rantau antara 1 Februari hingga 27 November 2019.

Oleh itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izhanudin Alias dan A Aswhini, manakala hanya 10 daripada tertuduh diwakili peguam.

Tertuduh R Kamal Rajh, S Ilangovan, L Navinraj dan S Sivabalan diwakili peguam V Muniandy dan P Rajsurian, manakala S Viven, T S G Ravikumar, T S G Kartik dan K Sarugunan diwakili peguam A Parthiban dan J Dasene serta dua lagi tertuduh S Prabu dan G Kartik Rajah diwakili peguam Goh Chee Kian.

Sembilan lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, petugas media dihalang memasuki mahkamah bagi menyaksikan pertuduhan yang berlangsung selama lebih dua jam bermula 10 pagi hingga 12.15 tengah hari itu.

Selain itu, kawalan ketat juga dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan terhadap Kompleks Mahkamah Seremban sepanjang prosiding berlangsung.

Mohd Izhanudin ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memberitahu hakim menolak permohonan jaminan terhadap semua tertuduh atas alasan ia boleh dibuat di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Harian Metro semalam melaporkan, geng Kabali yang disyaki terbabit sekurang-kurangnya 65 kes samun di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, berjaya ditumpaskan apabila polis menahan 19 ahlinya melalui Ops Kelawar sepanjang November hingga Disember lalu.

Menurut polis, geng itu dipercayai aktif melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata sejak 2017 yang menyasarkan mangsa di rumah dan pengurup wang, antara 8 malam hingga 5.30 pagi.

Disiarkan pada: January 9, 2020 @ 3:57pm
d