mutakhir

Padah ibu tunggal sorok duit

Oleh BERNAMA

SEORANG ibu tunggal didenda RM19,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menolong menyembunyikan wang berjumlah RM28,000 yang bukan miliknya, dua tahun lalu.

Majistret V. Vanita menjatuhkan hukuman terhadap How Chui Pin, 48, yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta, selepas dia mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan dibacakan.

Bagi pertuduhan pertama hingga tiga, dia didakwa menolong menyembunyikan wang RM3,000, RM15,000 dan RM10,000 yang dimasukkan penama Mak Meow Hoo, 55, ke dalam akaun Hong Leong Bank didaftarkan atas namanya kerana mempercayai bahawa ia bukanlah hak milik tertuduh.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Hong Leong Bank, Jalan Dato’ Bandar Tunggal di sini pada jam 8.53 malam, 20 Mac, 1.33 tengah hari, 16 April dan 11.09 pagi, pada 27 April 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal manakala peguam tertuduh, Noor Azizi Abdul Aziz memohon hukuman ringan diberikan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, How mengaku tidak bersalah atas empat lagi pertuduhan menolong menyembunyikan wang berjumlah RM32,000 yang bukan miliknya, dua tahun lalu.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mahyun Yusof.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga empat, dia didakwa dengan curangnya menolong menyembunyikan wang RM5,000, RM5,000, RM2,000 dan RM20,000 yang dimasukkan penama yang sama ke dalam akaun Hong Leong Bank yang didaftarkan atas namanya dengan sebab untuk mempercayai bahawa ia bukanlah hak milik tertuduh.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Hong Leong Bank, Jalan Dato’ Bandar Tunggal di sini antara jam 9.41 malam hingga 3.46 petang, pada 15 Mac hingga 15 Mei 2018 dan dia didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mas Syafiqah Mahroob yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan wang jaminan sebanyak RM6,000 bagi setiap tiga pertuduhan pertama dan RM10,000 bagi satu lagi pertuduhan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Januari hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Disiarkan pada: January 9, 2020 @ 6:11pm
d