mutakhir

Kekal bebas tuduhan cabul budak

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya, hari ini mengekalkan pembebasan seorang kerani syarikat perkapalan yang dituduh melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki berumur enam tahun pada 2012.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Abu Bakar Jais sebulat suara menolak rayuan pihak pendakwaan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret dan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Azri Othman.

“Tidak wujud kekhilafan untuk rayuan dan membolehkan Mahkamah Rayuan untuk campur tangan,” kata Hakim Hanipah yang mempengerusikan panel itu.

Pihak pendakwaan merayu ke Mahkamah Rayuan bagi memohon mahkamah merujuk semula kes itu ke Mahkamah Majistret untuk Azri membela diri.

Azri, 49, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulim mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan atas pertuduhan merangsang seorang kanak-kanak di bawah umur 14 tahun untuk melakukan perbuatan tidak senonoh.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu terhadap mangsa yang ketika itu berumur enam tahun di sebuah rumah di Kulim, Kedah antara Mei 2012 dan 12 September, 2012.

Bagaimanapun, Azri dibebaskan Mahkamah Majistret pada 3 April 2016 tanpa dipanggil untuk membela diri.

Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Alor Setar, tetapi rayuan itu ditolak pada 7 Jun 2017.

Azri diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim.

Disiarkan pada: January 9, 2020 @ 6:41pm
d