mutakhir

Nasib baik kedai kosong

Oleh Balqis Jazimah Zahari

SEBAHAGIAN dinding bangunan dua tingkat tidak berpenghuni di Jalan Sultan Iskandar, Ipoh runtuh selepas dirempuh sebuah pacuan empat roda, semalam.

Saksi kejadian, Ch’ng Chwee Seng, 64, berkata dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam, dia bekerja di sebuah studio lukisan di tingkat atas bangunan berdekatan sebelum terkejut apabila mendengar dentuman kuat.

Katanya, dentuman kuat itu menyebabkannya dia terus keluar untuk melihat apa yang berlaku.

“Ketika itu saya sedang berehat-rehat di tingkat atas bangunan untuk menjaga studio lukisan yang berada di belakang bangunan.

“Saya terkejut tiba-tiba terdengar bunyi dentuman sangat kuat sehinggakan satu bangunan terasa bergegar dan bergoyang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Chwee Seng berkata, dia kemudian melihat sebuah Mitsubishi Triton sudah melanggar tiang di hadapan kedai itu.

Katanya, pada mulanya keadaan tidak begitu teruk kerana hanya satu tiang yang tumbang.

“Pada mulanya hanya tiang sahaja yang tumbang, tetapi 10 minit kemudian bahagian dinding kedai runtuh satu persatu.

“Orang ramai termasuk pelancong luar negara berkerumun di tempat kejadian sehingga jalan raya menjadi begitu sesak ,” katanya.

Tinjauan wartawan di lokasi kejadian mendapati kerja-kerja penyelenggaraan semula sedang dijalankan dan jalan terpaksa ditutup kepada satu lorong.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pikap terbabit hilang kawalan lalu merempuh bangunan kedai itu.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: January 9, 2020 @ 6:44pm
d