mutakhir

7 pengusaha gudang perlu beri keterangan [METROTV]

SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) memberi tempoh 30 hari terhadap tujuh pengusaha gudang untuk memberi keterangan secara bertulis atau lisan selepas didapati terbabit dalam kegiatan kartel penetapan harga.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Iskandar Ismail berkata, MyCC mengeluarkan keputusan cadangan ke atas tujuh pengusaha itu kerana disyaki melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) berhubung surcaj perkhidmatan bagi pengendalian muatan panjang dan muatan berat di Pelabuhan Klang.

Katanya, kartel penetapan harga dianggap sebagai pelanggaran yang amat serius di bawah undang-undang persaingan yang mana ia perlu dihentikan bagi memastikan pengguna dilindungi.

“Jika mereka gagal memberi tunjuk sebab dalam tempoh yang diberikan bermula hari ini, kita akan bawa kes kepada keputusan akhir di mana kami akan memutuskan tindakan penalti atau pembetulan.

“Namun, jika mereka bersetuju untuk bekerjasama dalam penyiasatan dan mengakui kesalahan, MyCC boleh memberi 100 peratus diskaun ke atas denda,” katanya pada taklimat media, di sini, semalam.

Tujuh pengusaha operator gudang itu adalah Regional Synergy (M) Sdn Bhd, WCS Warehousing Sdn Bhd, Pioneerpac Sdn Bhd, Interocean Warehousing Service Sdn Bhd, Intrexim Sdn Bhd, SAL Agencies Sdn Bhd dan Prima Warehousing Sdn Bhd.

Iskandar berkata, MyCC juga mendapati semua operator gudang terbabit melaksanakan penetapan kadar harga ke atas pelanggan masing-masing melalui platform perbualan atas talian.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, tujuh pengusaha gudang berkenaan terbabit dalam perbuatan penetapan harga surcaj perkhidmatan pengendalian muatan panjang dan berat ke atas semua kargo import dan eksport di kawasan Northport dan Westport di Pelabuhan Klang.

Beliau berkata, jika didapati bersalah, penaliti sebanyak 10 peratus daripada nilai perolehan dalam dan luar negara akan dikenakan dan jika mereka masih meneruskan aktiviti terbabit, denda secara harian akan dikenakan.

“Melalui kes ini, pengusaha terbabit disyaki bersetuju menaikkan harga kadar surcaj secara bersama-sama menyebabkan tiadanya persaingan antara mereka yang mana kesan buruknya akan ditanggung pengguna.

“Perkhidmatan gudang adalah elemen penting dalam ekosistem dan kos berkenaan biasanya akan dipindahkan kepada pengguna.

“Kami di MyCC akan terus menangani kartel penetapan harga untuk manfaat pengguna yang mana sekarang sedang bergelut dengan isu kos sara hidup,” katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2020 @ 7:20pm
d