mutakhir

Dadah dalam seluar dalam

Oleh Abdul Rahemang Taiming

HELAH wanita warga Indonesia menyorok 250.55 gram syabu bernilai RM22,500 di dalam seluar dalam terbongkar selepas ditahan ketika ingin menaiki feri di Terminal Feri Tawau, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata suspek, yang berasal dari Sulawesi Selatan, Indonesia dijadualkan menaiki feri sebelum melalui kaunter pemeriksaan keselamatan di balai berlepas.

Beliau berkata, suspek bagaimanapun ditahan polis bantuan di terminal itu untuk pemeriksaan lanjut selepas didapati dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan tubuh badan suspek, polis menemui tiga bungkusan berbalut tisu putih berpelekat berwarna coklat di dalam poket berzip pada baju dalam dipakai suspek.

“Turut ditemukan dua lagi bungkusan sama yang disembunyikan pada bahagian kanan seluar dalam pendek berwarna merah jambu yang dipakai suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Peter berkata, pemeriksaan lanjut ke atas lima bungkusan itu mendapati di dalamnya mengandungi satu bungkusan plastik lutsinar masing-masing berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu.

Katanya, suspek kemudiannya ditangkap dan dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: January 9, 2020 @ 9:25pm
d