mutakhir

Kaut RM200,000 sehari [METROTV]

Oleh Adnan Ibrahim

SATU sindiket perjudian atas talian ditumpaskan berikutan penahanan 15 lelaki serta dua wanita warga China dalam serbuan di dua rumah di Taman Delima, Kluang, 7.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 30-an dipercayai menjadi dalang utama pengendalian dua rumah dijadikan sebagai pusat panggilan perjudian itu.

Beliau berkata, melalui intipan dan risikan, sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, IPD Johor Bahru Utara dan IPD Kluang menyerbu kedua-dua rumah yang dipercayai menjalankan kegiatan perjudian atas talian sejak dua bulan lalu.

“Melalui serbuan itu, polis merampas peralatan dipercayai digunakan untuk menjalankan operasi ‘calling centre’ dalam urusan perjudian atas talian.

“Modus operandi sindiket ini adalah mengendali dan mempromosikan perjudian atas talian serta menarik mangsa warga China untuk membayar pertaruhan,” katanya kepada media, hari ini.

Mohd Abduh berkata, sindiket terbabit dipercayai membuat transaksi urus niaga RM200,000 sehari atau secara keseluruhannya kira-kira RM 6juta sebulan sepanjang tempoh beroperasi.

Beliau berkata, semua tangkapan berusia antara 18 hingga 49 tahun itu dipercayai tinggal di dua rumah di Taman Delima ketika menjalankan aktiviti perjudian dengan kadar sewa RM4,700 sebulan.

“Siasatan mendapati tiga tangkapan menggunakan pas lawatan sosial manakala 14 lagi tiada memiliki pasport.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

“Tangkapan warga China akan direman sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) mengikut Akta Imigresen manakala tangkapan lelaki warga tempatan akan direman selama empat hari mulai hari ini untuk membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2020 @ 11:18am
d