mutakhir

'Istana' empat beranak [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

EMPAT sekeluarga hanya mampu tinggal dalam bangsal di dalam hutan, tanpa bekalan elektrik dan air di Kampung Bahagia, Kuala Krai, akibat kedaifan keluarga.

Bangsal yang berlantaikan tanah di bahagian dapur, dinding dan lantai berlubang serta bumbung banyak yang bocor dianggap ‘istana’ bagi Hafisah Kasim, 43, dan suami, Ibrahim Doni, 41, serta dua anak mereka, Norma Ibrahim, 10, dan Mohd Nasrullah, 7, untuk dijadikan tempat berteduh sejak 10 tahun lalu.

Mereka hanya menggunakan pelita sebagai sumber cahaya, memasak dengan dapur kayu dan mengangkut air dari telaga yang terletak kira-kira 30 meter dari rumah.

Hafisah berkata, asalnya rumah yang tidak berpintu dan daun tingkap itu milik penduduk kampung dan selepas mereka berpindah, empat beranak itu menetap di bangsal berkenaan.

“Kami tidak mampu membaik pulih rumah ini, cukuplah ia mampu melindungi kami daripada hujan dan panas walaupun tiada pintu dan hanya ditutup kain sahaja pada waktu malam.

“Dalam keadaan rumah tidak sempurna, kami perlu berwaspada dengan haiwan berbisa kerana pernah dimasuki ular senduk dan lipan.

“Malah, saya sendiri pernah terkena sengatan (lipan),” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Terdahulu mereka dikunjungi kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society, diwakili Che Norhayati Mohamed yang menyampaikan sumbangan makanan.

Kemiskinan hidup yang dialami mereka sekeluarga turut dipikul dua anak yang tidak mampu ke sekolah, walaupun hati meronta ingin merasai suasana persekolahan.

Hafisah berkata, kehidupan mereka bergantung sepenuhnya kepada suami yang hanya bekerja kampung menyebabkan impian dua anak itu dianggap mimpi di siang hari.

“Usahkan nak ke sekolah, makan minum seharian pun tidak menentu, jika ada wang dapatlah membeli lauk, kalau tidak kami makan nasi kosong.

“Suami hanya boleh bekerja di sekitar kampung sahaja dan tidak mempunyai kenderaan, itu antara faktor anak tidak dapat bersekolah kerana sukar untuk berulang-alik,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Mukim Mambong, Mohd Zain Abdul Rajib berkata, keluarga itu kerap menerima bantuan sama ada dari segi kewangan atau barang keperluan jika ada agihan yang dibuat.

“Permohonan mendapatkan rumah untuk mereka juga sudah diluluskan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), namun pembinaannya belum dipastikan.

“Lokasinya juga agak jauh iaitu di Kampung Telekong memandangkan mereka tiada tanah sendiri.

“Dari segi bantuan lain seperti barang makanan dan kewangan, mereka tidak pernah dipinggirkan cuma kami hanya mampu memberi sekadar yang termampu dan apa yang diperuntukkan sahaja,” katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2020 @ 1:48pm
d