mutakhir

PRK Kimanis: Rayu hidupkan semula pekan mati

Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah

PEKAN Kimanis yang terletak dalam Parlimen Kimanis menerusi persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2004, kini menjadi sebuah pekan mati.

Ia adalah antara tiga pekan lama dalam Parlimen Kimanis, selain Bongawan dan Membakut, namun sayangnya pekan Kimanis tidak berkembang di kawasan asalnya, berbanding dua lagi pekan terbabit.

Tinjauan mendapati, satu-satunya deretan kedai kayu di pekan Kimanis yang mengandungi enam lot kedai sudah tidak beroperasi, mungkin disebabkan keadaannya yang semakin usang dan uzur.

Ketika ini, hanya ada seorang peniaga ikan masih berniaga di sebuah lot kedai, manakala peniaga lain difahamkan sudah berpindah ke tempat lain seperti di Papar.

Tuti Fauziah Ahmad, 45, yang berniaga di pekan itu sejak kira-kira 10 tahun lalu, berkata tindakan peniaga asal berpindah ke tempat lain hingga semua premisnya kosong sejak lebih setahun lalu menyebabkan penduduk berhampiran terpaksa ke pekan baharu di Kimanis Centro, kira-kira dua kilometer dari pekan lama.

“Saya tidak tahu kenapa pemilik kedai di sini pindah tapi mungkin disebabkan keadaan bangunannya yang usang, lebih-lebih lagi selepas satu lot di bahagian hujung runtuh tahun lalu. Saya difahamkan bangunan ini milik persatuan Cina di sini, tetapi tidak tahu kenapa mereka tidak membaikinya.

“Saya kemudian menyewa satu lot yang ditinggalkan itu dengan bayaran RM150 saja sebulan tetapi sekarang tiada bekalan elektrik kerana dipotong mungkin atas sebab keselamatan,” katanya, ketika ditemui di sini, hari ini.

Selain sederet kedai kayu yang dianggarkan berusia 70 tahun itu, pekan Kimanis turut dilengkapi gerai pasar dan dewan terbuka selain ada sebuah sekolah rendah dan menengah serta stesen kereta api.

Disebabkan tiada lagi aktiviti perniagaan di pekan ini, hanya penduduk berhampiran yang menggunakan perkhidmatan kereta api ke ibu negeri, Papar atau Beaufort datang ke pekan itu mengikut jadual perjalanan kereta api, selain pengunjung luar yang mencari ikan segar dijual Tuti.

Tuti berkata, ketika kedai di pekan itu masih beroperasi, ramai pengunjung khususnya penduduk setempat dan pelajar sekolah yang datang membeli barangan keperluan.

“Sekarang, pelajar sekolah terpaksa membayar tambang kerana perlu menaiki kereta untuk ke pekan baharu di Kimanis Centro sedangkan dulu hanya berjalan saja.

“Jadi saya berharap kerajaan dapat memberi perhatian terhadap nasib pekan ini supaya dapat dihidupkan semula kerana sayang kalau ia dibiarkan sebab ada nilai sejarah. Stesen kereta api juga masih beroperasi, jadi masih ada potensj untuk dipulihkan,” katanya.

Pekan Kimanis, sama seperti pekan Bongawan dan Membakut berkembang sebagai pusat perniagaan setempat sejak zaman Syarikat Berpiagam Borneo Utara British, kira-kira seabad lalu kerana ia menjadi perhentian kereta api yang dibina penjajah pada masa itu.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Disiarkan pada: January 10, 2020 @ 4:10pm
    d