mutakhir

Menipu je kerja kau...

Oleh Mohd Khidir Zakaria

“SAYA harap mereka datang semula ke kedai supaya saya dapat kembalikan not RM100 palsu itu,” kata Azmira Osman, 31, yang geram diperdaya sindiket wang palsu.

Terdahulu, Azmira memuat naik status diperdaya empat individu yang membuat bayaran untuk membeli barangan di kedainya di Bandar Sri Sendayan Metropark dengan menggunakan not RM100 palsu.

Ketika kejadian, Azmira tiada di kedai dan hanya pekerjanya saja yang melayan mereka.

“Pekerja memaklumkan, empat individu ini membabitkan seorang lelaki dan tiga perempuan, datang dengan menaiki Volkswagen Polo warna perak.

“Keempat-empatnya kemudiannya membeli barangan berjumlah RM30. Ketika membuat pembayaran, tiga wanita terbabit cuba mengalihkan tumpuan pekerja dengan mengajaknya bersembang.

“Pekerja yang perlu melayan mereka bersembang tidak perasan ia not palsu,” katanya dihubungi Harian Metro hari ini.

Menurut Azmira, mereka kemudiannya beredar dari lokasi.

Azmira berkata, selepas dia memuat naik status dalam Facebook tentang penipuan terbabit, pelbagai ulasan diberi netizen seperti kumpulan terbabit aktif di beberapa kawasan sekitar Seremban, Nilai dan Port Dickson.

“Ada antara netizen sempat merakam gambar Volkswagen Polo digunakan empat individu terbabit.

“Saya sedang mendapatkan kerjasama daripada beberapa peniaga dan individu untuk membuat laporan polis berkaitan perkara ini,” katanya.

Menurut Azmira, tujuan perkara ini diviralkan adalah untuk memastikan orang ramai terutama peniaga, berhati-hati dan tidak terpedaya dengan sindiket wang palsu itu.

Disiarkan pada: January 10, 2020 @ 5:42pm
d