mutakhir

Tayar dikunci gagal bayar kompaun parkir

Oleh Asrol Awang

KEEGOAN pemilik kereta yang enggan membayar 117 kompaun parkir berjumlah RM4,983 menerima padah apabila kenderaannya dikunci tayar di Kuantan, semalam.

Tindakan itu diambil Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) selepas pemiliknya berusia 29 tahun melakukan kesalahan parkir di luar petak dan tidak mempamer kupon sejak beberapa tahun lalu.

Kenderaan itu kemudian ditunda ke stor penyimpanan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Norkamawati Kamal berkata, bagaimanapun, pemilik terbabit tahun sudah mendapatkan kembali keretanya selepas membayar kos tunda, hari ini.

“Tetapi, individu itu tidak terlepas daripada membayar kompaun terbabit dan tindakan mahkamah akan dikenakan terhadapnya.

“Tindakan penguatkuasaan itu dilakukan dalam ‘Operasi Kunci Tayar’ yang dijalankan selama dua hari bermula semalam,” katanya hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Norkamawati berkata, berkuat kuasa 6 Januari lalu, MPK melaksanakan sistem i-Sekat iaitu sekatan terhadap individu atau syarikat yang mempunyai tunggakan bayaran dengan PBT itu.

Katanya, pemohon yang mempunyai sebarang tunggakan cukai taksiran, sewaan dan kompaun pelbagai kesalahan akan menghadapi risiko disekat mendapatkan perkhidmatan atau membuat sebarang urusan dengan MPK.

“Sekatan itu termasuk dalam urusan permohonan permit perniagaan atau penganjuran Bazar Ramadan, pembelian dan pengemukaan dokumen tender, permohonan kelulusan pelan pemaju serta penyewaan premis perniagaan.

“Sistem i-Sekat ini akan menggunakan nombor kad pengenalan atau nombor pendaftaran syarikat untuk mengesan individu atau syarikat yang mempunyai tunggakan.

“Sekatan ini hanya akan dibatalkan selepas tunggakan terbabit dijelaskan sepenuhnya,” katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2020 @ 6:34pm
d