mutakhir

Australia hargai tawaran Malaysia

Oleh BERNAMA

KERAJAAN Australia amat menghargai tawaran Malaysia untuk menghulurkan bantuan dalam menangani krisis kebakaran hutan belantaranya yang terburuk, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Datuk Sudha Devi KR Vasudevan.

Beliau berkata, Australia akan memberi maklum balas kepada Malaysia berhubung cadangan untuk menghantar pasukan bomba dan penyelamat ke negara itu jika diperlukan.

“Saya boleh mengesahkan bahawa kita telah menyampaikan cadangan Malaysia kepada kerajaan Australia. Mereka amat menghargai tawaran itu dan akan memaklumkan kita apabila bantuan itu diperlukan,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual melalui e-mel.

Kabinet pada Rabu telah meluluskan pelan untuk menghantar pasukan bomba dan penyelamat ke Australia.

Misi itu, jika diterima oleh kerajaan Australia, akan diselaras oleh dua pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Ia dijangka membabitkan 39 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, 29 petugas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta dua kakitangan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Australia kini berdepan kebakaran hutan belantaranya yang terburuk sejak September tahun lepas, dengan negeri New South Wales (NSW) di Pantai Timur menjadi lokasi paling terjejas.

Dilaporkan bahawa lebih 100 kebakaran hutan belantara berlaku di NSW sahaja.

Setakat ini, kira-kira 2,000 rumah musnah dalam kebakaran itu manakala 27 kematian telah dilaporkan sejak September.

Disiarkan pada: January 10, 2020 @ 6:49pm
d