mutakhir

Pemandu lori gagal seludup sayur

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

SEBANYAK 1,370 kilogram sayur-sayuran bernilai RM6,103 dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) selepas cuba diseludup dari Thailand di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Padang Besar, kelmarin.

Pengarah MAQIS Perlis, Mohamad Arshad Raffin berkata, pihaknya turut menahan seorang pemandu lori warga tempatan bagi membantu siasatan.

“Kesemua sayuran berupa lengkuas, ubi keladi, limau nipis dan pisang dibawa masuk menggunakan sebuah lori dari Thailand melalui pintu masuk Padang Besar.

“Apabila pegawai MAQIS membuat pemeriksaan, didapati kesemua barangan berkenaan tidak mendapat kelulusan dan permit daripada kerajaan Thailand.

“Ia secara tidak langsung menjadikan barangan terbabit haram untuk dibawa masuk ke dalam negara dan dirampas untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

“Maqis memandang serius perkara ini dan percaya ia diseludup untuk dipasarkan di sekitar negeri ini,” katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2020 @ 8:16pm
d