mutakhir

311 generasi baharu Felda Sg Sibol terima kunci rumah PGBF

Oleh BERNAMA

SERAMAI 311 generasi baharu Felda Sungai Sibol dan Felda Penggeli Timur di sini, menerima kunci rumah baharu menerusi projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF), hari ini.

Jumlah berkenaan membabitkan 163 generasi baharu dari Felda Sungai Sibol manakala 148 lagi dari Felda Penggeli Timur.

Penyerahan kunci rumah PGBF itu disempurnakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor Tosrin Jarvanthi serta Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Dr Sahruddin ketika berucap pada majlis penyerahan kunci rumah di Felda Sungai Sibol berharap semua generasi baharu terbabit dapat melakukan perubahan pada diri dan keluarga selain kekal menetap bersama-sama memajukan kawasan Felda terbabit dengan pelbagai kegiatan.

Beliau berkata terdapat pelbagai insentif dan inisiatif diumum dalam Belanjawan Johor 2020 sebagai usaha kerajaan Johor memastikan setiap rakyat negeri ini memiliki rumah sempurna.

“Selain itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM30 juta bagi tujuan penyelenggaraan jalan di Felda seluruh Johor dan juga meluluskan permohonan 3,900 pemohon bagi tujuan tapak rumah generasi kedua Felda bagi daerah Kota Tinggi dan ini menunjukkan kerajaan negeri komited mahu melihat rakyat di negeri ini hidup sejahtera,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima PGBF, Hasliana Mohd Hasin, 34, dari Felda Sungai Sibol bersyukur apabila memiliki rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi, mempunyai tiga bilik tidur serta dua bilik air itu sekali gus menyifatkan penantiannya selama enam tahun untuk memiliki rumah sendiri menjadi kenyataan hari ini.

“Penantian ini sangat berbaloi kerana hendak beli rumah di luar pun mahal…saya suka dengan reka bentuknya,” katanya yang bekerja sebagai pembantu perawatan di sebuah klinik pergigian di Skudai, Johor Bahru.

Seorang peniaga, Jasni Sarip, 51, juga dari Felda Sungai Sibol, menyifatkan peluang memiliki rumah sendiri itu sebagai permulaan baik bagi dirinya dan keluarga, tahun ini.

“Selama ini saya menumpang tinggal di rumah mentua, jadi apabila ada rumah sendiri ini, saya rasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pimpinan Felda, kerajaan negeri dan pusat yang terbabit dalam merealisasikan impian kami warga Felda,” katanya yang memiliki lima anak.

Projek PGBF Sungai Sibol adalah antara 20 tapak projek PGBF yang diberi nafas baharu dan dihidupkan semula dengan dana kerajaan sebanyak RM250 juta menerusi pengumuman kertas putih Felda di Parlimen pada 10 April tahun lepas bagi menyiapkan 4,794 unit PGBF yang mencapai kemajuan kerja melebihi 70 peratus.

Disiarkan pada: January 10, 2020 @ 9:26pm
d