mutakhir

Ayam pun kome curi....

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

DUA individu termasuk seorang wanita sedang dicari polis selepas dipercayai mencuri ayam di pasar Kampung Koh, Sitiawan, semalam.

Dalam kejadian 2 pagi itu, mereka melarikan sebuah bakul bertutup yang berisi 10 ayam hidup.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kecurian itu pada 2 petang.

Menurutnya, siasatan mendapati kawasan berkenaan berpagar tetapi pintu masuk pasar terbuka dan tidak mempunyai pagar.

"Hasil daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati lelaki dan wanita yang dianggarkan berusia 30-an menaiki motosikal masuk ke pasar.

"Mereka mengambil bakul yang berisi 10 ayam hidup membabitkan kerugian kira-kira RM200," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, polis kini sedang giat mengesan kedua-dua suspek terbabit.

"Polis akan menganalisis rakaman CCTV di tempat kejadian bagi mengesan suspek dan nombor pendaftaran motosikal yang digunakan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan juga diminta tampil membantu siasatan.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu melakukan jenayah mencuri," katanya.

Sementara itu, Nor Omar berkata, polis juga masih menjalankan siasatan jika suspek terbabit adalah individu sama membabitkan kejadian curi barangan milik Masjid Al Falah, Ayer Tawar, Manjung, 1 Januari lalu.

Disiarkan pada: January 11, 2020 @ 11:57am
d