mutakhir

Maut tersepit 30 minit

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

SEORANG lelaki maut sejurus kereta dipandu merempuh sebuah lori di Kilometer 272.8, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat Seremban, Negeri Sembilan, awal pagi tadi.

Mangsa, Leong Mun Loong, 51, maut di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk pemandu.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan Mohd Syazwan Saidy, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.04 pagi.

Katanya, sebuah jentera bersama 12 anggota dikejarkan ke lokasi bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai.

"Sebaik tiba kami mendapati mangsa tersepit dan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkannya menggunakan peralatan khas," katanya tadi.

Mohd Syazwan berkata, pemandu lori tiga tan berusia 42 tahun pula mengalami sakit dada serta sesak nafas dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, untuk mendapatkan rawatan.

Difahamkan pemandu lori membawa muatan botol plastik dari Melaka ke Ipoh, Perak itu baru memulakan perjalanan selepas selesai berehat di Kawasan Rehat dan Rawat Seremban sebelum kenderaannya dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta.

Disiarkan pada: January 11, 2020 @ 12:41pm
d