mutakhir

'Saya difitnah' - Yee Kew [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

“SAYA menafikan segala tuduhan yang dibuat Presiden IKHLAS (Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia) dan peniaga dalam laporan polis mereka sebelum ini,” kata Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Dr Tan Yee Kew.

Yee Kew tampil membuat laporan di Balai Polis Setapak di Kuala Lumpur, kira-kira jam 11 pagi tadi, bagi menafikan laporan yang dibuat 157 peniaga Bazar Larut Malam (Uptown) Danau Kota ke atas dirinya pada 5 Januari lalu.

Beliau yang ditemui media selepas membuat laporan itu berkata, peniaga terbabit dipercayai membuat laporan selepas dihasut Presiden IKHLAS, Mohd Ridzuan Abdullah untuk berbuat demikian.

“Saya diberitahu semua isi kandungan laporan yang dibuat itu sama. Saya percaya dan yakin mereka berbuat demikian atas hasutan Mohd Ridzuan.

“Malah, saya juga mendapat maklumat bahawa peniaga terbabit perlu membayar RM150 untuk menjadi ahli IKHLAS dan Mohd Ridzuan berjanji membantu mereka mendapatkan tapak lama.

“Sedangkan apa yang dijanjikan Mohd Ridzuan itu adalah penipuan. Semua sedia maklum bahawa tapak lama sudah ditutup sepenuhnya sejak 31 Disember lalu,” katanya.

Pada 5 Januari lalu, peniaga Uptown membuat laporan polis ke atas Yee Kew yang menjadi penaung Bazaria Wangsa Maju kerana dikatakan menyebabkan mereka tidak dapat berniaga di tapak asal.

Peniaga terbabit mendakwa nama mereka tercicir dalam pembahagian tapak baharu dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selain tidak dapat berniaga di tapak asal.

Mengulas lanjut, Yee Kew berkata, beliau tidak terbabit dalam pemilihan peniaga di tapak baharu kerana ia ditentukan sepenuhnya DBKL menerusi sistem bancian yang dilakukan.

“Sebelum ini tapak lama dikuasai sindiket tertentu yang mengenakan kadar sewa tinggi kepada peniaga sedangkan sewa dikenakan DBKL cuma RM108 setahun. Peniaga yang tiada lesen terpaksa menyewa tapak berkenaan untuk berniaga,” katanya.

Katanya, beliau akan menghantar surat tuntutan saman kepada Mohd Ridzuan dalam masa terdekat kerana memfitnahnya menyalah guna kuasa dan terbabit dalam pemilihan peniaga di tapak baharu.

“Peguam saya sedang melengkapkan dokumentasi dan segala bukti bagi membolehkan tindakan saman diambil terhadap atas Mohd Ridzuan,” katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2020 @ 2:57pm
d