mutakhir

Mana mahu lari?

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

TANPA mempedulikan bahaya, ada yang sanggup memperjudikan nyawa berlari ke arah jalan raya selain bersembunyi di dalam longkang serta di bawah timbunan kayu bagi mengelak ditahan.

Bagaimanapun cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) itu untuk meloloskan diri gagal apabila mereka ditahan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor di kawasan rumah kongsi berhampiran tapak pembinaan di Bukit Raja dan Puncak Alam, di Kuala Selangor malam tadi.

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, operasi bermula 11 malam dan berakhir 5 pagi tadi membabitkan kekuatan 99 pegawai serta anggota imigresen dibantu empat pegawai Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Selangor.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dua lokasi itu, seramai 498 orang warga asing diperiksa di mana 97 PATI berusia dua hingga 50 tahun ditahan kerana dipercayai melakukan pelbagai kesalahan Imigresen.

"Mereka yang ditahan itu membabitkan warga 73 warga Indonesia, Bangladesh (12), Myanmar (11) dan India seorang.

"Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa JIM Selangor untuk tujuan siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Shukri berkata, mereka akan direman 14 hari mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Kesalahan yang dilakukan PATI ini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal tanpa pas/permit yang sah, dan Seksyen 15(1)(c) Akta yang sama kerana tinggal lebih masa.

"Siasatan juga akan tertumpu kepada pihak majikan yang menggajikan PATI dan sekiranya terdapat bukti, majikan ini juga akan turut dikenakan tindakan undang-undang yang sedang berkuatkuasa," katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2020 @ 3:11pm
d