mutakhir

6 pelanggan bank pening, muntah

Oleh Zuhainy Zulkiffli

ENAM pelanggan mengalami pening dan muntah dipercayai selepas berlaku kebocoran bahan kimia di sebuah bank di Jalan Besar, Sungai Bakap dekat Nibong Tebal hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, lima daripadanya terpaksa dibawa ke Hospital Sungai Bakap manakala seorang lagi mangsa dirawat kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian.

Menurutnya, jentera dan kenderaan utiliti bomba bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sunga Bakap dan Perai diketuai Ketua Operasi JBPM Seberang Perai Selatan Mohd Najib Hashim dikejarkan ke premis berkenaan selepas menerima panggilan kecemasan pada 1.06 tengah hari.

"Maklumat daripada kakitangan bank itu mengesahkan bahawa premis terbabit dalam proses mencegah serangga perosak dan sudah disembur dengan bahan pembasmi anai-anai.

"Pihak bomba sudah membuat pemeriksaan susulan di lokasi kejadian dan mengarahkan anggota memakai pakaian yang lengkap serta menjaga premis daripada dimasuki orang awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Disiarkan pada: January 11, 2020 @ 5:00pm
d