mutakhir

PRK Kimanis: Nafi ugut pegawai kerajaan sokong pembangkang

Oleh BERNAMA

KETUA Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Dr Yusof Yacob menafikan dakwaan di media sosial beliau mengugut pegawai kerajaan yang memberi sokongan kepada parti pembangkang.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah itu, berkata Warisan yang menerajui kerajaan negeri Sabah tidak mengamalkan konsep seumpama itu.

“Saya hanya memberi kefahaman kepada pegawai kerajaan jangan terbabit dalam politik. Mereka perlu memberi perkhidmatan kepada kerajaan hari ini.

“Warisan mengetuai kerajaan negeri Sabah dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat kerajaan Persekutuan. Kalau mereka berpolitik, maknanya tidak dapat menyampaikan khidmat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui pada Karnival Kerjaya Kimanis di Membakut, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas video tular di media sosial mengenai ceramahnya ketika kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis, baru-baru ini, yang didakwa mengugut akan memecat pegawai kerajaan yang menyokong parti pembangkang.

Yusof berkata penting bagi pegawai kerajaan tidak terbabit dalam politik supaya mereka telus dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau berkata, tindakan penjawat awam yang memburukkan kerajaan, termasuk di media sosial tidak mencerminkan etika mereka sebagai seorang pegawai kerajaan.

“Apa yang penting adalah menjaga keharmonian tanpa mengira suku kaum dan agama serta fahaman politik,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Disiarkan pada: January 11, 2020 @ 5:31pm
    d