mutakhir

Bermalam di PPS akibat banjir

Oleh Melvin Joni

HUJAN lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan 29 mangsa daripada sembilan keluarga di Kampung Entangor, Sebuyau dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) semalam.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, semua mangsa ditempatkan di Dewan Kampung Entangor.

Katanya, mereka terdiri daripada lapan lelaki dan wanita dewasa, serta lapan kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan dan seorang wanita warga emas.

“Setakat ini, semua mangsa masih ditempatkan di PPS di Dewan Kampung Entangor kerana banjir belum surut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Banjir itu turut menjejaskan Sekolah Kebangsaan (SK) Lunying di Sebuyau apabila dinaiki air sedalam 1.2 meter.

“Hujan lebat tanpa henti menyebabkan paras air sungai naik mendadak daripada kawasan hulu kampung dan mengakibatkan banjir di kawasan sekolah,” katanya.

Walaupun air semakin surut kawasan berkenaan kini dalam pemantauan memandangkan cuaca mendung.

Disiarkan pada: January 11, 2020 @ 5:33pm
d