mutakhir

Bekalan vaksin influenza semakin berkurangan

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

BERIKUTAN peningkatan kes influenza yang melanda beberapa negeri di Malaysia, bekalan vaksin didapati semakin berkurangan dan ada yang kehabisan stok.

Tinjauan di beberapa klinik swasta sekitar Kuala Lumpur dan Selangor mendapati terdapat peningkatan berganda terhadap vaksin berkenaan.

Doktor Residen Poliklinik Dr Azhar dan Rakan-Rakan Cawangan Puncak Alam, Dr Khairul Idzham Abdul Khalid berkata, jumlah pesakit ke kliniknya dengan simptom influenza meningkat berbanding sebelum ini.

Katanya secara peribadi, walaupun jumlah kes yang dikesan meningkat, namun jumlahnya masih belum di tahap yang membimbangkan dan terkawal.

“Ini terjadi kerana kesedaran masyarakat yang segera membawa anak mereka apabila kelihatan ada simptom penyakit influenza ini.

“Kes influenza paling banyak dikesan membabitkan kanak-kanak kerana sistem imun tubuh kanak-kanak lebih rendah berbanding orang dewasa.

“Disebabkan itu juga bekalan vaksin di klinik juga sentiasa habis dan stok baharu hanya boleh diperoleh selepas sambutan tahun baru Cina,” katanya kepada Metro Ahad hari ini.

Beliau berkata, harga untuk suntikan vaksin influenza sekitar RM60 hingga RM100 di klinik swasta dan ia bergantung kepada jenis vaksin terbabit.

Influenza adalah jangkitan pada hidung, tekak dan paru-paru disebabkan virus influenza dan virus ini mudah berjangkit.

Disiarkan pada: January 11, 2020 @ 5:48pm
d