mutakhir

'Latheefa perlu beri penjelasan lanjut' - Anwar

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, perlu memberi penjelasan lebih jelas mengenai tindakan agensinya mendedahkan sembilan set rakaman percakapan didakwa konspirasi jenayah pada peringkat tertinggi.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan SPRM mendedahkan kepada umum ternyata mengundang kritikan sesetengah pihak termasuk rakyat.

Katanya, pendedahan rakaman mengenai perbualan membabitkan pasangan suami isteri itu juga menimbulkan kebimbangan mengenai kerahsiaan seseorang individu.

“Saya rasa dia (Latheefa) perlu beri penjelasan lanjut sebab ada juga kebimbangan tentang kerahsiaan sosok peribadi soal, (panggilan) telefon suami isteri tetapi hujah menegakkan keadilan dan fakta maklumat perlu.

“Juga ini harus dirujuk mahkamah untuk diputuskan,” katanya ditemui media selepas menghadiri Forum Ketamadunan Islam: Perspektif Melayu-Nusantara di Muzium Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), hari ini.

Ditanya sama ada tindakan SPRM itu boleh menjejaskan perjalanan pendakwaan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Anwar tidak pasti dan terserah kepada proses perundangan.

“Wajar perkara ini diserah kepada polis dan dirujuk ke mahkamah kalau ada bukti yang dapat disahkan,” katanya.

Rabu lalu, SPRM mendedahkan sembilan set rakaman percakapan selama 45 minit yang didakwa konspirasi jenayah pada peringkat tertinggi dan hasil siasatan agensi itu mendapati ia adalah tulen.

Pada sidang media khas, Latheefa memperdengarkan klip audio berkaitan perbualan berkaitan kes skandal 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Antaranya, rakaman percakapan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, mendedahkan maklumat siasatan mengenai skandal dana 1MDB kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pada 2016.

Disiarkan pada: January 11, 2020 @ 6:20pm
d