mutakhir

Tertipu tunggakan kad kredit

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

BIMBANG dirinya dikaitkan dengan transaksi urus niaga jual beli dadah menyebabkan seorang peniaga di Kuala Terengganu membuat transaksi wang sebanyak RM12,177.65 ke akaun bank dipercayai milik sindiket Macau Scam pada Rabu lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu Deputi Superintendan Hamdan Zali berkata, kejadian bermula apabila lelaki itu menerima panggilan telefon daripada suspek yang memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan kad kredit berjumlah RM5,000.

"Mangsa tidak percaya dan menafikan dakwaan itu sebelum talian disambungkan kepada seorang lagi suspek kononnya seorang berpangkat inspektor dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

"Suspek mendakwa kad kredit mangsa dikesan digunakan oleh individu untuk melakukan urusan jual beli dadah dan tindakan undang-undang akan diambil ke atasnya, sekiranya mangsa tidak menjelaskan tunggakan.

"Pada masa sama, suspek memberitahu dia boleh membantu menyelesaikan hal itu secara baik tetapi bersyarat," katanya.

Hamdan berkata, mangsa diminta memasukkan sebanyak RM12,177.65 ke akaun bank diberikan sekiranya ingin menyelesaikan kes itu segera.

Menurutnya, mangsa yang berasa takut bersetuju sebelum membuat tiga transaksi wang ke akaun bank yang diberikan pada hari yang sama.

"Sebaik selesai membuat transaksi wang seperti diminta, mangsa menghubungi pihak bank berkenaan untuk kemas kini dan menyemak pembayaran itu.

"Bagaimanapun, mangsa terkejut apabila diberitahu oleh pihak bank bahawa dia tidak mempunyai sebarang tunggakan bayaran sebelum ini seperti yang didakwa suspek," katanya.

Menurutnya, mangsa yang berasa tertipu selepas mendengar penjelasan pihak bank segera ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk membuat laporan.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Disiarkan pada: January 11, 2020 @ 6:38pm
d