mutakhir

Lintasan pejalan kaki motif kuda belang [METROTV]

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

MAJLIS Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengambil langkah proaktif mengecat lintasan pejalan kaki di Jalan Merdeka, Bandar Hilir, Melaka menyerupai corak kuda belang.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Mansor Sudin berkata, inisiatif itu dilakukan bertujuan menarik perhatian pemandu dan penunggang motosikal supaya lebih berwaspada.

Katanya, garisan lintasan sepanjang 24 meter dan lebar enam meter itu turut dilengkapi sistem lintasan pejalan kaki automatik yang mampu mengimbas pergerakan individu sebelum lampu pejalan kaki bertukar merah.

“Usaha ini masih dalam tempoh percubaan. Jika ia berkesan, ia akan diteruskan (diperluas).

“Garisan lintasan ini juga nampak lebih menarik perhatian pengguna jalan raya,” katanya.

Katanya, garisan lintasan baharu itu menelan belanja RM10,000.

Mengulas lanjut, Mansor berkata, simbol garisan lintasan pejalan kaki masih kekal, cuma reka bentuknya di atas jalan raya diubah supaya pengguna jalan raya lebih berwaspada.

Disiarkan pada: January 11, 2020 @ 7:28pm
d