mutakhir

Bekas penempatan Rascom dibangunkan semula- Abang Johari

Oleh BERNAMA

BEKAS penempatan di bawah Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM) ketika kemuncak ancaman pengganas komunis era 1970-an di Kanowit, akan dibangunkan semula sebagai Kawasan Pembangunan Ngemah.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, penempatan yang meliputi kawasan Nanga Tada, Nanga Ngungun, Nanga Jagau, Kabah dan Ngemah itu bakal dilengkapkan dengan infrastruktur yang komprehensif, bagi meningkatkan sosio ekonomi penduduknya.

Beliau berkata, sejumlah dana akan diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 kepada Agensi Pembangunan Ulu Rejang (URDA), yang akan melaksanakan pelan pembangunan berkenaan.

“Kita akan laksanakan pertanian komersil bagi meningkatkan tahap ekonomi rakyat di kawasan itu dan sebelum itu kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air akan kita adakan,” katanya ketika merasmikan Jerayawara GPS Zon 11B di sini, hari ini.

Abang Johari bagaimanapun tidak menyatakan bila pembangunan itu akan mula dilaksanakan dan jumlah peruntukan yang akan diberikan kepada URDA, untuk melaksanakannya.

Menurutnya, salah satu objektif pelan berkenaan adalah untuk menghargai pengorbanan penduduk kampung-kampung berkenaan yang terpaksa meninggalkan kawasan kampung asal mereka bagi ditempatkan semula dalam usaha menentang komunis di era konfrontasi.

Disiarkan pada: January 11, 2020 @ 7:43pm
d