mutakhir

Penjual ikan cabul wanita ditahan

Oleh Juwan Riduan

PERBUATAN penjual ikan mencabul kehormatan pelanggan wanita di Pasar Ikan, Jalan Pantai, Lahad Datu, membawa padah apabila dia ditahan polis, hari ini.

Lelaki berusia berusia 46 tahun ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu di pasar berkenaan pada 9.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, kejadian berlaku pada 7.45 petang Khamis lalu, ketika mangsa berusia 39 tahun bersama dua rakannya pergi ke pasar ikan untuk membeli ikan.

"Ketika mangsa bersendirian mencari ketam untuk dibeli, tiba-tiba suspek meraba bahagian sulit mangsa.

"Mangsa yang terkejut kemudiannya melawan dengan memulas ibu jari suspek menyebabkan lelaki itu melarikan diri," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nasri berkata, mangsa kemudian membuat laporan di balai polis berdekatan.

"Mangsa mengenal pasti suspek melalui tatu di lengan kanan kerana ketika kejadian suspek memakai baju lengan pendek,” katanya.

Menurutnya, suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan positif dadah jenis syabu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan," katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2020 @ 7:50pm
d