mutakhir

Polis siasat pegawai JPJ juga

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

POLIS menegaskan pihaknya turut menyiasat dua anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang terbabit dalam video tular membabitkan seorang penunggang motosikal di Kilometer 23, Jalan Lahad Datu-Sandakan, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, dua anggota JPJ berusia dalam lingkungan 30 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan sengaja.

“Semalam keterangan mereka juga sudah diambil dan pihak kami sedang menyiapkan kertas siasatan.

“Kami menyiasat kedua-dua pihak yang terbabit dalam video tular berkenaan,” katana ketika dihubungi, hari ini.

Dalam itu, Nasri berkata, pihaknya meminta individu merakam video itu supaya hadir membantu siasatan.

“Diharapkan individu berkenaan tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dalam membantu siasatan kes ini,” katanya.

Sementara itu, sekeping gambar penunggang motosikal yang terbabit insiden itu tular di media sosial hari ini.

Lelaki berusia dalam lingkungan 20 tahun itu kelihatan bengkak pada mata kiri.

Semalam satu video berdurasi 45 saat memaparkan anggota JPJ memukul seorang penunggang motosikal yang lari dari sekatan jalan raya tular di media sosial.

Penunggang itu kemudiannya ditangkap dan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Akta Imigresen 1959/63.

Berita berkaitan:

  • Penunggang motosikal ditahan polis
  • Siasat video tular JPJ agresif [METROTV]
  • Disiarkan pada: January 11, 2020 @ 8:05pm
    d