mutakhir

Pesanan terakhir sebelum ajal lima beranak

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

"ARWAH (Taslim) sempat berpesan dengan saya supaya menjaga rumahnya sebelum dia sekeluarga pergi ke rumah kakaknya di Sepang selama dua hari.

"Hari ini, arwah kembali 'pulang' ke rumah, tetapi 'pulang' dalam keadaan sebagai jenazah," kata Md Dahari Osman, 57.

Md Dahari adalah bapa saudara kepada pemandu kereta Proton Satria, Mohamad Taslim Jamsari Mohamad, 31, yang meninggal dunia tengah hari tadi selepas dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB), Selangor, berikutan terbabit dalam kemalangan di Kilometer 448, Lebuh Raya Utara Selatan, dekat Sungai Buloh, semalam.

Dalam kejadian 12.05 tengah malam itu, empat ahli keluarganya, Asiah Mat, 74, (nenek pemandu) dan Ain Faizra Mohd Yazid, 25, (isteri pemandu) maut di lokasi kejadian.

Manakala dua lagi mangsa, Nur Tiara Arisha Muhammad Taslim, sembilan bulan (anak pemandu) dan Ruzi Osman, 54, (ibu pemandu) meninggal dunia ketika menerima rawatan di HSB.

Menurut Md Dahari, beberapa hari sebelum kemalangan berlaku, Allahyarham ada memintanya menjaga rumah dan memberi tahu akan pulang semula ke kampung pada hari Ahad ( hari ini ).

"Waktu itu, saya hairan kerana arwah tidak pernah berpesan seperti itu (tengokkan rumah) dan dia seperti tahu akan pergi meninggalkan kami.

"Malah, saya tidak sempat bersalam dengan arwah dan ahli keluarga lain kerana mereka bergerak awal," katanya ketika ditemui Harian Metro di rumah keluarganya di Parit 12, Sungai Nibong, Sekinchan, Selangor.

Dia berkata, Allahyarham yang juga mekanik sempat menyiapkan motosikal Honda EX5 milik salah penduduk kampung sebelum bergerak ke Sepang.

Sepupu Allahyarham, Mohd Arif Shafzan Akbar, 23, berkata, Allahyarham yang berkahwin sejak dua tahun itu disifatkan sebagai seorang yang mesra dan sering membantu penduduk kampung.

"Arwah tidak mempunyai bengkel tetap, jadi dia gunakan rumahnya sebagai tempat membaiki kenderaan. Dia kerap betulkan motosikal orang kampung dan mengenakan bayaran berpatutan.

"Pemergian arwah memberi kehilangan besar buat saya, keluarga dan penduduk di sini. Kami reda akan pemergiannya dan berdoa supaya rohnya ditempatkan bersama orang beriman," katanya.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke rumah keluarganya di Parit 12, Sungai Nibong dan disembahyangkan di Surau Tanah Lesen sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 23, Sungai Nibong.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, lima kematian direkodkan susulan kemalangan itu.

Beliau berkata, sehingga kini tiada saksi bebas tampil atau dikesan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: January 11, 2020 @ 8:06pm
d