mutakhir

Jerut leher kakak OKU

Oleh Melvin Joni

BERANG tidak diberikan wang, seorang lelaki menumbuk dan menjerut leher kakaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) di Taman Malihah, Matang, Kuching, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, dalam kejadian 8 malam itu, suspek berusia 23 tahun yang juga penganggur itu mengamuk selepas mangsa enggan memberi wang walau didesak beberapa kali.

“Akibat marah, suspek menjerut leher kakaknya dengan selimut dan menumbuk kepalanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidil berkata, selepas kejadian mangsa menghubungi adik iparnya yang kemudian membuat laporan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Susulan itu katanya, maklumat yang diperoleh dimaklumkan kepada pasukan rondaan cegah jenayah yang ke tempat kejadian, 9.30 malam.

“Anggota menangkap suspek dan membawanya ke Balai Polis Batu Kawa untuk tindakan lanjut,” katanya.

Aidil berkata, sebilah pisau sepanjang 17 sentimeter turut dirampas daripada suspek yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Disiarkan pada: January 11, 2020 @ 8:21pm
d