mutakhir

Cuba selamat rakan, tapi...

Oleh Zaid Salim

LELAKI masih hilang dan dikhuatiri lemas di Pantai Pandak, Chendering, di Kuala Terenganu, semalam, dikatakan cuba menyelamatkan seorang rakan yang hampir lemas.

Dalam kejadian itu, mangsa, Tengku Muhamad Afiq Tengku Muhazan Shah, 20, bersama dua rakannya dihanyutkan ombak ketika mandi di pantai berkenaan.

Seorang daripadanya, Mohd Nor Hishamudin Nor Saidi, 21, ditemui lemas, 9.50 malam semalam.

Sementara, seorang lagi, Muhammad Nazrin Mat Asri, 20, terselamat.

Rakan mangsa, Muhammad Afiq Talib Ali, 20, berkata, ketika kejadian, seorang daripada mereka hampir lemas akibat ditarik ombak.

Katanya, Tengku Muhamad Afiq dan Muhammad Nazrin cuba menyelamatkan rakan itu.

“Bagaimanapun, mereka ‘ditarik’ ombak. Muhammad Nazrin cuba mengapungkan badan di permukaan air sebelum diselamatkan penduduk menggunakan bot gentian kaca

“Tengku Muhammad Afiq pula tenggelam dibawa arus,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, kejadian itu menyebabkan mereka panik sebelum menyedari Mohd Nor Hishamudin hanyut ditarik ombak.

"Rakan yang hampir lemas dikenali sebagai Faris berjaya diselamatkan rakan lain,” katanya.

Katanya, dia tidak menyangka kehilangan dua rakan dalam sekelip mata.

"Kami adalah pelajar semester satu jurusan Sains Komputer dan sebelum ini pernah mandi di pantai ini,” katanya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Katanya, mereka ke pantai itu menenangkan fikiran selepas penat belajar selain ada antara mereka yang selesai menghadapi peperiksaan.

Dia berkata, sebelum mandi jam 5.45 petang, mereka sempat merakamkan gambar dan tidak menyangka ia adalah kenangan terakhir bersama mangsa.

"Kami tidak nampak perlakuan pelik mangsa ketika itu tetapi kami semua teruja hendak bermain air," katanya.

Dalam kejadian itu, mangsa antara 18 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke pantai berkenaan.

Berita berkaitan:

  • [UPDATE] Mayat seorang penuntut UiTM ditemui
  • Dua penuntut UiTM dikhuatiri lemas
  • Disiarkan pada: January 12, 2020 @ 9:05am
    d