mutakhir

Rampas kosmetik Siam

Oleh Syaherah Mustafa

BATALION 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas 1,056 botol barangan kosmetik bernilai RM42,528 di Jalan Lama Jeram Perdah, di Rantau Panjang, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam operasi 5.15 petang itu, anggotanya membuat rondaan sebelum ternampak sebuah van dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota kami membuat intipan dan melihat van terbabit keluar daripada pangkalan haram Kedap, menghala ke pekan Rantau Panjang.

"Apabila pemandu van ini menyedari kehadiran pihak kami, dia terus bertindak memberhentikan kenderaan dan melarikan diri ke pangkalan berhampiran.

"Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan terbabit, anggota menemui barangan kosmetik iaitu krim pelembap vitamin C sebanyak 120 botol , kapsul ubat pemutih (200 botol) dan krim pelembap (736 botol)," katanya.

Azhari berkata, pihaknya merampas semua barang dan van itu.

Katanya, ia kemudian dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan serta siasatan lanjut pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

"Hasil maklumat risikan mendapati kesemua barangan dirampas adalah stok barangan kosmetik yang diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

"Kes ini diserahkan kepada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut di bawah Peraturan 7 (1) (a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan usaha berterusan bagi mengekang jenayah rentas sempadan.

Disiarkan pada: January 12, 2020 @ 9:49am
d