mutakhir

Ajal ketika berlumba

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PEMUDA meninggal dunia selepas motosikal ditunggang merempuh kereta di Kilometer (KM) 288.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, hari ini.

Ketika kejadian, mangsa berusia 20-an dipercayai berlumba dengan beberapa motosikal lain hingga hilang kawalan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima maklumat kemalangan membabitkan sebuah kereta dan tiga motosikal pada 5.03 pagi.

Katanya, siasatan lanjut mendapati pemandu kereta dalam perjalanan dari Nilai, Negeri Sembilan menghala ke Bangi.

“Ketika dia memandu di lorong kiri, tiba-tiba beberapa motosikal dari arah belakang melanggar belakang keretanya.

“Seorang penunggang motosikal maut, manakala tiga penunggang lain berusia 20 hingga 22 tahun cedera.

“Mereka dipercayai berlumba antara satu sama lain dan gagal mengawal motosikal yang ditunggang laju sehingga berlakunya kemalangan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saksi bebas yang melihat kemalangan itu dan mempunyai maklumat boleh menghubungi Inspektor Dinesh di talian 01133094457,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, 11 orang termasuk dua remaja bawah umur ditahan dalam operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dan Lebuhraya Cheras-Kajang.

“Sebanyak 13 kenderaan disita iaitu 12 motosikal dan sebuah kereta. Semua yang ditahan, direman empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 42(1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan menunggang secara melulu dan merbahaya,” katanya.

Disiarkan pada: January 12, 2020 @ 1:05pm
d