mutakhir

Tunggu data M40 sebelum laksana subsidi petrol

Oleh Rafidah Mat Ruzki

PROSES pendaftaran kategori penerima golongan pertengahan 40 peratus (M40) untuk Program Subsidi Petrol (PSP) yang ketika ini ditangguhkan, hanya akan dibuka pada penghujung suku pertama atau awal suku kedua tahun ini.

Ia susulan pengumuman Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2020 pada Oktober lalu berhubung subsidi petrol untuk golongan M40.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu ketika mengadakan pertemuan dengan Guan Eng serta pegawai tertinggi kedua-dua kementerian pada minggu pertama Januari.

Menyifatkan kewajaran penangguhan PSP oleh kerajaan, beliau berkata, data membabitkan kategori kumpulan terendah 40 peratus (B40) sudah lengkap dan sedia untuk pemberian subsidi berkenaan.

"Pada mesyuarat itu, Kementerian Kewangan memaklumkan proses pendaftaran kategori penerima M40 akan hanya dibuka pada akhir suku pertama tahun ini. Barang kali pada awal suku tahun kedua.

"Penerima B40 sudah pun lengkap datanya manakala M40 ... oleh kerana Menteri Kewangan baru umumkan dalam bajet pada Oktober. Dalam bajet itu beliau kata pelaksanaan untuk M40 pada tahun ini.

"Jadi ada kewajaran untuk pelaksanaan itu nanti dilakukan serentak," katanya selepas perasmian Kejohanan Bola Sepak Piala Khalid Samad di Stadium Rhino KV Arena, Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, antara isu yang cuba diselaraskan termasuk isu penerima PSP berikutan sebelum ini dikatakan B40 menerimanya melalui pembayaran tunai manakala M40 menggunakan kad.

Katanya, kementeriannya berpendapat sumbangan tunai untuk subsidi lebih cekap untuk kategori B40.

"Jadi dengan penangguhan ini ia memberi peluang kepada kedua-dua kementerian untuk mencapai satu keputusan yang apabila dilaksanakan nanti ia haruslah 'seamless' (lancar), ia tidak ada kecoh. Apabila rakyat ke pam minyak dia tidak rasa apa-apa perubahan. Itu yang terbaik," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai klip video yang tular membabitkan sekumpulan warga asing dipercayai Bangladesh yang membeli minyak petrol dengan menggunakan tong bersaiz antara lima hingga 10 liter, dan menaiki bas di Sabak Bernam baru-baru, ini, Saifuddin berkata, pegawai penguatkuasaan kementeriannya sudah ke stesen berkenaan dan menemui pemiliknya.

Katanya, beliau menjangkakan akan menerima laporan lengkap mengenai isu itu, esok.

"Saya percaya esok Isnin saya akan dapat laporan penuh mengenai insiden itu yang tular. Akan kami teliti apakah itu satu perkara yang berlaku ketika video itu dirakamkan atau macam mana.

"Setakat pengetahuan saya itu (yang pertama berlaku)," katanya.

Beliau berkata, masalah besar membabitkan subsidi bahan bakar adalah kebocoran sama ada antara industri mahupun antara sempadan.

Disiarkan pada: January 12, 2020 @ 3:40pm
d