mutakhir

Amaran cetus ketegangan kaum

Oleh BERNAMA

MEDIA di negara ini termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) disaran memperbanyakkan lagi laporan dan berita menjurus ke arah pemupukan perpaduan kaum.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith berkata, laporan dan berita yang positif dapat meningkatkan perpaduan dan seterusnya memupuk hubungan baik di antara kaum di negara ini.

“Media hendaklah memainkan peranan lebih efektif dalam memberi kefahaman kepada rakyat berkaitan pentingnya kita bersatu-padu dalam perkara membabitkan kepentingan bersama.

“Sensitiviti setiap kaum juga harus dijaga dan jangan berprasangka atau prejudis….jika ini dapat dilakukan, insyaAllah kita akan mendapat hasil yang positif untuk jangka masa panjang kepada perpaduan kaum di negara ini,” katanya selepas menghadiri Festival Maulidur Rasul 2020 bersempena Hari Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-72 di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti, Kuala Pilah tadi.

Eddin Syazlee yang juga anggota Parlimen Kuala Pilah berkata, kerajaan sekarang mengamalkan keterbukaan.

“Untuk bersikap transparent (telus) ini bukan perkara yang mudah ...perlu mengambil (perkara) buruk dan baik untuk dilihat secara telus. Inilah ketelusan yang perlu kita pelajari,” katanya.

Sementara itu, Eddin Syazlee berkata tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang cuba menimbulkan provokasi sehingga menjejaskan perpaduan kaum.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak-pihak yang memuat naik kenyataan di laman sosial media yang boleh menimbulkan ketegangan kaum. Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memantau aktiviti yang tidak sihat sedemikian (untuk diambil tindakan),” katanya.

Disiarkan pada: January 12, 2020 @ 5:05pm
d