mutakhir

Suami isteri nyaris maut

Oleh Adnan Ibrahim

SEPASANG suami isteri nyaris maut selepas kereta dinaiki bergesel dengan sebuah lori pasir ketika cuba memotong sebuah motosikal dalam kejadian di Jalan Sengkang - FELDA Inas, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintenden Tok Beng Yeow berkata, siasatan awal mendapati, kereta Produa Kelisa dipandu Badrulhisham Mohamed,21, dalam perjalanan dari arah Kulai menghala ke FELDA Inas, kira-kira jam 8 pagi.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menaiki kenderaan itu bersama isteri berusia 25 tahun cuba memotong sebuah motosikal di depan.

“Bagaimanapun, cubaan itu gagal lalu bergesel dengan sebuah lori yang penuh dengan muatan pasir menyebabkannya hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh tebing tanah.

“Akibat kejadian itu, kenderaan dinaiki pasangan itu terbalik menyebabkan mangsa cedera parah di muka sebelum dirujuk ke Unit Kecemasan Hospital Kulai untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurut Beng Yeow, isteri mangsa turut cedera dirujuk ke hospital sama, manakala pemandu lori pasir tidak cedera.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Khairi Zainuddin berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira jam 8.14 sebelum sebuah jentera bersama sebuah EMRS dan 11 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

“Anggota mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa sebelum dihantar ke hospital menggunakan kenderaan EMRS dan ambulans yang datang untuk memberikan bantuan kecemasan,” katanya.

Disiarkan pada: January 12, 2020 @ 5:15pm
d