mutakhir

Waris tak faham

Oleh Amir Abd Hamid dan Sri Ayu Kartika Amri

WARIS tidak memahami proses pengurusan dan tuntutan yang perlu dilakukan selepas kematian pemilik harta antara sebab utama nilai harta pusaka tidak dituntut mencecah sehingga RM70 bilion.

Perunding pusaka, wasiat dan hibah, Azrin Sabirin berkata, kebanyakan waris tidak tahu proses sebenar yang perlu dilalui untuk melakukan tuntutan harta pusaka contohnya agensi kerajaan yang harus dituju, dokumen yang perlu disediakan serta kos dalam proses tuntutan.

Beliau yang berpengalaman 18 tahun dalam industri perwarisan harta pusaka berkata, ada juga waris tidak ambil peduli mengenai harta pusaka ditinggalkan kerana nilainya tidak signifikan.

“Ini berlaku apabila nilai harta pusaka ditinggalkan tidak signifikan kerana terlalu rendah seterusnya waris menganggap proses perlu dilalui tidak setimpal dengan nilai yang ingin dituntut.

“Permasalahan pusaka juga berlaku sebab waris tidak faham hak mengikut hukum faraid.

“Kebanyakan waris tidak tahu formula pengagihan yang sudah ditetapkan mengikut hukum faraid kerana ilmu ini paling kurang diberi perhatian di kalangan masyarakat Islam khususnya orang Melayu,” katanya.

Beliau mengulas laporan muka depan Metro Ahad mengenai pusaka majoritinya membabitkan milik orang Melayu yang gagal dicairkan membabitkan harta bernilai RM70 bilion.

Azrin berkata, faktor lain berlakunya keadaan itu adalah fi pengurusan harta pusaka yang mahal dikenakan kepada waris ingin melantik pihak ketiga untuk menguruskan harta pusaka si mati.

“Fi pengurusan oleh firma guaman atau syarikat amanah di Malaysia adalah berdasarkan nilai harta pusaka ditinggalkan dan fi dianggap membebankan waris kerana waris perlu menanggung fi itu.

“Justeru, masyarakat Islam di Malaysia khususnya perlu mempunyai kesedaran tinggi bagi memastikan harta ditinggalkan kelak tidak akan membebankan waris dari sudut kos dan proses.

“Seterusnya harta pusaka ini dapat dicairkan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi orang Islam sendiri,” katanya.

Panel penasihat e-wasiat Warkah Akhir Services Sdn Bhd, Asyraf Ismail berkata, kebaikan berwasiat antaranya untuk menyelesaikan isu berkenaan dengan harta yang tidak dapat diuruskan atau harta yang tidak diselesaikan oleh waris termasuk hutang.

“Merujuk keadaan semasa sehingga ada RM70 bilion harta pusaka atau harta beku kerana tidak diselesaikan faraid dan sebagainya, maka walaupun pada asal hukum digalakkan sunat muakad tetapi kerajaan boleh pertimbangkan untuk mencari jalan mewajibkannya.

“Ini kerana kedudukan ini sudah sampai kepada peringkat yang darurat atau keadaan yang sangat berat.

“Masyarakat Islam perlu diberi kesedaran bersungguh-sungguh mengenai kepentingan pengurusan harta pusaka dan wasiat,” katanya yang juga Pegawai Tadbir Agama Daerah Ipoh, Perak.

Keterangan gambar:

Pic mugshot 1: Perunding pusaka, wasiat dan hibah, Azrin Sabirin.

Pic mugshot 2: Panel penasihat e-wasiat Warkah Akhir Services Sdn Bhd, Asyraf Ismail

-tamat

Disiarkan pada: January 12, 2020 @ 5:53pm
d