mutakhir

Momota stabil [METROTV]

Oleh Samadi Ahmd

PEMAIN badminton nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX), hari ini, dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tiga lagi mangsa yang bersama Momota juga dilaporkan dalam keadaan stabil.

Beliau berkata, tiga mangsa itu ialah Pegawai Teknikal, Persatuan Badminton Dunia (BWF) William Thomas, 30, dari England; pembantu jurulatih Jepun, Yu Hirayama, 35, dan Pegawai Fisioterapi Jepun, Akifumi Morimoto, 42.

“Kita menafikan Momota berada dalam keadaan kritikal seperti dilaporkan sesetengah pihak sebaliknya semua mangsa stabil," katanya kepada media selepas melawat mangsa di Hospital Putrajaya hari ini.

Difahamkan ketika kejadian 5.30 pagi itu, van dinaiki mangsa melanggar belakang sebuah lori ketika dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pemandu van, N Bavan, 24, yang tersepit di tempat duduk disahkan meninggal dunia di lokasi.

Syed Saddiq berkata, pihaknya mengambil berat kes berkenaan kerana ia sangat tragik dan membabitkan pemain dunia.

Katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan kerajaan akan memberi perkhidmatan terbaik dan memantau keadaan semua mangsa dari semasa ke semasa.

Berita berkaitan

Kento Momota cedera dalam kemalangan

Disiarkan pada: January 13, 2020 @ 11:25am
d