mutakhir

Bau busuk bongkar penyeludupan ular [METROTV]

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

BAU busuk dan bunyi dengusan membawa kepada pembongkaran aktiviti penyeludupan 154 ular tedung senduk di sebuah kebun di Kampung Kolam di Padang Besar, semalam.

Komander Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis, Deputi Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, dalam kejadian 6 petang itu, reptilia berkenaan ditemui di dalam 22 karung guni.

Beliau berkata, reptilia itu ditemui oleh orang awam yang terhidu bau busuk ketika melalui kawasan berkenaan selain bunyi dengusan yang kuat seakan ular kelaparan.

"Kami percaya ular itu akan diseludup ke negara jiran memandangkan permintaan dagingnya yang tinggi terutama di musim Tahun Baru Cina.

"Malah kedudukan guni ular yang tidak jauh dari tembok sempadan Malaysia - Thailand menguatkan lagi bahawa penyeludup sedang menunggu waktu sesuai untuk dicampakkan kepada pelanggan yang menunggu di seberang tembok," katanya pada sidang media di Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perlis, hari ini.

Rodzi berkata, setakat ini tiada tangkapan dilakukan namun beliau percaya rampasan itu berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan hidupan liar terancang.

"Mengikut maklumat, harga sekilogram ular tedung senduk di Thailand antara RM300 ke RM500.

"Malah ekstrak dagingnya sering digunakan sebagai bahan utama dalam pembuatan produk kesihatan menjadikan ia begitu popular dalam kalangan penggemar haiwan eksotik," katanya.

Beliau berkata, ular berkenaan diserahkan kepada PERHILITAN untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 60, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 716, 2010.

Disiarkan pada: January 13, 2020 @ 12:28pm
d