mutakhir

Juru kimpal rentung

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

LELAKI Myanmar rentung manakala dua lagi cedera dalam kebakaran sebuah kilang pembuatan jeriji besi di Taman Teknologi Cheng, Melaka, pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Zulkifli Nordin berkata, mangsa yang maut bekerja sebagai juru kimpal berusia 38 tahun, manakala lelaki warga tempatan, 28, melecur 90 peratus di badan dan seorang wanita, 23, hanya cedera ringan.

“Kebakaran membabitkan kawasan seluas kira-kira 460 meter persegi dan dipercayai berlaku letupan ketika mangsa sedang menjalankan kerja kimpalan di ruang operasi kilang.

“Rakannya yang mengalami lecur 90 peratus dibawa ke hospital,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Katanya, wanita warga Myanmar dipercayai isteri kepada mangsa yang rentung hanya cedera ringan.

“Semasa kejadian, wanita berkenaan dipercayai bergegas ke kilang apabila melihat kebakaran di premis tempat suaminya bekerja,” katanya.

Beliau berkata, punca sebenar berlaku kejadian ini masih dalam siasatan.

Zulkifli berkata, sepasukan 45 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dan BBP Tangga Batu diketuai komander operasi Pegawai Bomba Kanan II, Rahim Ismail dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan jam 9.02 pagi tadi.

Disiarkan pada: January 13, 2020 @ 1:18pm
d