mutakhir

Cadangan ambil alih lebuh raya dibincang Rabu

Oleh BERNAMA

CADANGAN pengambilalihan konsesi lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Bhd (PLUS) dan empat lebuh raya berkaitan Gamuda Bhd di Lembah Klang akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Lim berkata, pengumuman akan dibuat selepas perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan tempoh bila pengumuman keputusan pengambilalihan konsesi itu akan dibuat.

"Tunggulah pengumuman, saya tidak boleh membuat pengumuman secara spontan kerana itu adalah pengumuman penting, biasanya berdasarkan kenyataan bertulis," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengarah-Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia, di Georgetown, hari ini.

Disember lalu, Menteri Kerja Raya, Baru Bian dilaporkan sebagai berkata, Kabinet mengarahkan butiran mengenai pengambilalihan konsesi lebuh raya PLUS itu dibentangkan semula.

PLUS adalah cabang lebuh raya UEM Group (UEM), anak syarikat Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).

UEM dan Khazanah secara kolektif memegang 51 peratus saham dalam PLUS manakala baki 49 peratus dimiliki oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Sementara itu, empat lebuh raya berkaitan Gamuda ialah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sprint (Sprint) dan Terowong Smart (Smart).

Disiarkan pada: January 13, 2020 @ 2:23pm
d