mutakhir

Dulu mewah, sekarang pelarian [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

HIDUPNYA dulu penuh dengan kemewahan, mempunyai kenderaan dan rumah sendiri.

Namun kebahagiaan dikecapi Abu Saif, 40, bersama isteri dan tujuh anak hilang sekelip mata apabila menjadi mangsa perang yang melanda Syria pada 2014.

Bukan itu saja, dia turut kehilangan adiknya yang terkorban ketika perang Syria di Damsyik dan meninggalkan empat anak.

Abu Saif berkata, sebelum menjadi pelarian, dia seorang ahli perniagaan berjaya dalam bidang hartanah di Damsyik.

“Kehidupan dulu sangat berbeza, kami mempunyai segalanya, ada kereta, ada rumah tiga tingkat namun ia hilang sekelip mata akibat peperangan.

“Saya kini tidak mempunyai apa-apa kecuali kabin yang kecil dan tinggal bersama isteri dan tujuh anak dalam keadaan sempit,” katanya yang diterjemah sukarelawan Aman Palestin.

Rentetan peperangan, dia membawa keluarganya ke Lembah Beqaa, Lubnan pada 2015.

“Sejak itu, saya tinggal di Kem Al-Awdah bersama 300 keluarga lain. Saya turut membawa empat anak saudara yang kehilangan bapa namun mereka hanya sempat tinggal bersama saya sekeluarga selama setahun sebelum kembali ke Syria.

“Kami sekeluarga tinggal di kabin yang disediakan pertubuhan bukan kerajaan tempatan, Union of Relief and Development Association (URDA) untuk pelarian Syria,” katanya.

Menceritakan kehidupan di kem berkenaan, Abu Saif berkata, pada permulaannya kehidupan dia sekeluarga amat sukar kerana tidak mendapat sebarang pekerjaan di kawasan berkenaan.

“Pada awalnya saya hanya ambil upah menjadi buruh secara haram bagi menampung perbelanjaan yang tinggi buat kami sekeluarga.

“Musim sejuk sangat sukar bagi kami kerana tiada pekerjaan yang boleh dibuat dan kami amat memerlukan pekerjaan bagi membeli kerosin untuk pemanas di dalam kabin,” katanya.

Menurutnya, kem Al-Awdah kini hanya tinggal 30 keluarga saja kerana ada pelarian yang pulang ke Syria dan ada yang berpindah ke kem lain menyebabkan kerajaan mengarahkan binaan kabin itu dirobohkan.

Katanya, dia bersyukur kerana kini sudah mempunyai pekerjaan tetap sebagai pembantu pengurus di Kem Al-Awdah dan terbabit dalam kerja penyelenggaraan di kem berkenaan.

“Saya juga bersyukur kerana banyak menerima bantuan daripada badan bukan kerajaan terutama dari Malaysia yang banyak membantu pelarian di sini.

“Tambahan pula ketika ini adalah musim sejuk, kami terpaksa laluinya sehingga Mac ini. Keadaan ketika musim sejuk amat kritikal kerana kebanyakan pelarian memerlukan baju sejuk, makanan dan kerosin,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Media dan Dokumentasi Aman Palestin, Anas Abdul Wahab berkata, kerajaan Lubnan melarang pembukaan kem pelarian baru kerana kebanyakan penempatan sedia ada tidak teratur dan bahaya.

“Ketika ini, ada 1.4 juta pelarian Syria di Lubnan dengan 60 peratus mendiami kem sekitar Lembah Beqaa. Keadaan itu juga menyebabkan kerajaan melarang pembukaan kem baru.

“Lubnan mahu cari penyelesaian untuk pelarian kembali ke Syria dan tidak mahu mereka tinggal di sini untuk tempoh lebih panjang.

“Bagaimanapun, setakat ini tiada tindakan mendesak diambil untuk menghantar mereka kembali ke Syria,” katanya.

Rakyat Malaysia yang prihatin dengan nasib pelarian Syria dan Palestin boleh menyumbang kepada Aman Palestin menerusi akaun Maybank, 562263010787.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari www.amanpalestin.net.

Disiarkan pada: January 13, 2020 @ 2:53pm
d