mutakhir

Bukan hanya influenza, ada komplikasi lain

Oleh Mohamed Farid Noh

JABATAN Kesihatan Johor mengesahkan seorang murid tahun satu yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di Johor Bahru dijangkiti influenza seperti yang tular di media sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia negeri Aminolhuda Hassan berkata, selain dijangkiti influenza terdapat juga komplikasi lain yang menyebabkan kanak-kanak terbabit perlu dirawat di ICU dan diletakkan bawah pengawasan pakar.

“Berdasarkan laporan doktor pakar, kanak-kanak terbabit turut mengalami pelbagai komplikasi lain bukan hanya influenza sahaja dan keadaannya sedang dipantau rapi, ” katanya pada sidang sidang media di Johor Bahru hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kesihatan Johor Dr Aman Rabu.

Murid berkenaan, Nur Dinie Damia Muhammad Nor Ain, 7, didakwa kritikal dan sedang dirawat di ICU sebuah hospital kerajaan di Johor Bahru sejak beberapa hari lalu tular di media sosial sejak semalam.

Sementara itu, Aminolhuda memberi jaminan keadaan wabak influenza di negeri itu berada dalam keadaan terkawal dan boleh diuruskan.

Menurutnya, bekalan perubatan terutama antivirus influenza di negeri itu masih mencukupi.

“89 murid pra-sekolah sehingga tingkatan empat yang disyaki dijangkiti dirawat sebagai pesakit luar dan diminta berehat di rumah masing-masing.

“Jabatan Kesihatan tidak merekodkan jumlah pesakit influenza di negeri ini berikutan jangkitan berkenaan tidak tertakluk kepada keperluan pelaporan atau notifikasi di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, seperti jangkitan denggi contohnya yang memerlukan setiap jangkitan direkodkan.

“Pemantauan terhadap kes influenza like illness (ILI) mendapati berlaku sedikit peningkatan dan severe acute respiratory infection (SARI) sejak pertengahan bulan lalu namun peningkatan yang direkodkan masih berada dalam julat normal, ” katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2020 @ 3:24pm
d