mutakhir

Tunggakan bil elektrik MAPS RM4 juta

Oleh Balqis Jazimah Zahari

PENUTUPAN sementara taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) di Ipoh, Disember lalu kerana tunggakan bil elektrik yang mencecah RM4 juta ringgit.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tunggakan itu tidak mampu dilunaskan berikutan bebanan hutang ketika pentadbiran kerajaan negeri terdahulu.

Katanya, keadaan itu terpaksa ditanggung pengurusan MAPS yang baharu yang membawa kepada langkah penutupan sementara.

“Sebenarnya ia ditutup dua hari sebelum ini, memang kerana masalah itu (tunggakan bil elektrik).

“Apabila saya bertanya kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), mereka juga bimbang kerana rupa-rupanya MAPS ada masalah tidak membuat bayaran elektrik.

“Tidak bayar ketika sebelum kami ambil alih pentadbiran tetapi melalui kepemimpinan baharu, Alhamdulillah kita mendapati begitu ramai pengunjung sudah mula memberi perniagaan kepada MAPS,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Jualan Rumah Perakku 1 dan Majlis Pecah Tanah Bit Polis di Raia Perdana di Gopeng, hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad Faizal berkata, beliau sudah berbincang dengan TNB dan bekalan elektrik dikembalikan ke taman tema itu untuk membolehkannya beroperasi seperti biasa.

“Kita sedang berbincang dengan pelbagai pihak untuk menyelesaikan segala rungutan yang ada di sana (MAPS) yang tidak boleh saya umumkan buat masa ini,” katanya.

Pada 16 Disember 2019, laman Facebook (FB) MAPS memuat naik hantaran mengatakan premis itu ditutup sementara waktu sehingga satu tempoh yang akan diumumkan kemudian.

Rata-rata pengunjung terkejut dan ramai yang tidak berpuas hati mereka serta kecewa kerana hasrat untuk berhibur bersama keluarga terjejas.

Disiarkan pada: January 13, 2020 @ 3:45pm
d