mutakhir

Tiada siapa melebihi undang-undang negara

Oleh Rafidah Mat Ruzki

“TIADA siapa melebihi undang-undang,” ujar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari apabila diminta mengulas berhubung dakwaan seorang wakil rakyat negeri itu, Adhif Syan Abdullah, ditahan polis tengah malam tadi.

Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, berkata, sesiapa pun harus bertindak dalam batas undang-undang di negara ini.

Katanya, beliau mendapat makluman mengenai perkara itu melalui media sosial.

"Saya perlu mendapatkan laporan lanjut daripada pihak berkuasa terutama pihak polis berkenaan kejadian itu sama ada betul atau tidak dan apa akibatnya.

"Selepas laporan itu.... kita akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan undang-undang.

"No man is above the law di negara kita. Siapa pun harus bertindak dan melakukan tindakan dalam batas undang-undang.

"Beberapa perkara terutama hal peribadi itu di luar kawalan, tapi kalau ia melanggar peraturan, kita harap ada keputusan dan tindakan tegas dibuat oleh pihak PH dan juga pihak terbabit. Kena tunggu laporan," katanya selepas Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, beliau sendiri tidak menghubungi Adhif Syan sebaliknya mendapatkan laporan dari pemimpin tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di peringkat negeri.

"Kalau ada keputusan tertentu kita akan maklumkan," katanya.

Ditanya apa tindakan sekiranya dakwaan itu benar, Amirudin berkata, parti yang harus membuat keputusan mengenai perkara itu.

Media sebelum ini melaporkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah ditahan polis seperti yang tular di media sosial sejak pagi tadi.

Disiarkan pada: January 13, 2020 @ 3:48pm
d