mutakhir

Balu Mohamad Izuan terima bantuan PERKESO

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

BALU bekas jurulatih badminton Jepun kelahiran Malaysia, Mohamad Izuan Ibrahim, hari ini menerima bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Bantuan di bawah Pencen Penakat berjumlah RM1,787.50 sebulan itu bermula 23 Disember 2019, selepas kematian Mohamad Izuan yang disebabkan pendarahan otak.

Siti Marshytah Muhammad, 40, turut menerima Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 yang disampaikan Pengarah PERKESO Kelantan Nora Yaacob di rumahnya di Kampung Banggol, Jalan PCB, Kota Bharu.

Hadir sama, Naib Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Dr Naharuddin Hashim.

Ibu tiga anak itu berkata, bantuan berkenaan akan digunakan untuk perbelanjaan persekolahan dua anaknya Imaan Nayli, 9, dan Imaan Darwisya, 7.

“Saya berterima kasih kepada PERKESO kerana pencen bulanan ini dapat meringankan beban kami empat beranak.

“Biarpun perit, saya reda atas kehilangan suami, begitu juga anak-anak yang berusia empat hingga sembilan tahun,” katanya.

Sementara itu, Nora berkata, Skuad PERKESO Prihatin Kelantan bertindak segera selepas menerima maklumat kematian Mohamad Izuan.

Katanya, Allahyarham layak menerima pencen yang akan dibayar kepada balu seumur hidup atau sehingga anak mereka berusia 21 tahun atau tamat pengajian sarjana muda pertama.

“Kami berharap bantuan ini sedikit sebanyak membantu balu Allahyarham meneruskan kehidupan selepas hilang tempat bergantung.

“Apatah lagi, dia adalah suri rumah sepenuh masa,” katanya.

Naharuddin pula berkata, BAM sudah melancarkan tabung sumbangan bagi meringankan beban keluarga Allahyarham Mohamad Izuan yang akan disampaikan dalam masa terdekat.

Mohamad Izuan pernah melatih pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota dan membantu Jepun muncul juara Piala Thomas pada 2014.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sejak 19 Disember 2019 kerana mengalami pendarahan otak akibat migrain dan tidak sedarkan diri.

Beliau sepatutnya memulakan tugas kejurulatihan bersama BAM pada 1 Januari lalu.

Disiarkan pada: January 13, 2020 @ 4:57pm
d