mutakhir

Jangan sampai nama Malaysia busuk !

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

KEMENTERIAN Kesihatan mahu menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan bagi mengurangkan kematian membabitkan kes kemalangan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau akan mengangkat isu berkenaan pada jemaah menteri sebelum kes kematian membabitkan kemalangan akan bertambah.

“Seperti yang kita tahu, pagi tadi ada satu kes kemalangan membabitkan pemain badminton utama Jepun.

“Sebelum timbul persepsi kurang baik bila negara luar melihat kita sebagai negara tertinggi membabitkan kematian dalam kemalangan jalan raya... saya rasa kita patut meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan untuk tangani masalah berkenaan dari segi dasar dan pelaksanaan,” katanya selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2020 kementeriannya, di sini, semalam.

Berhubung kemalangan membabitkan pemain badminton itu, Dr Dzulkefly berkata pihak Hospital Putrajaya akan menjalankan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) ke atas semua mangsa.

“Pada jam 5.33 pagi tadi kita terima makluman kejadian kemalangan membabitkan lima mangsa dan salah seorang daripada mereka meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sebelum ini, media melaporkan pemain badminton nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota bersama tiga lagi mangsa iaitu Pegawai Teknikal Persekutuan Badminton Dunia (BWF), William Thomas, 30, dari England; pembantu jurulatih Jepun, Hirayama Yu, 35; dan Pegawai Fisioterapi Jepun, Morimoto Akifumi, 42, dilaporkan terbabit kemalangan di Kilometer 13.7 Lebuh Raya Maju Expressway (MEX), awal pagi tadi.

Disiarkan pada: January 13, 2020 @ 5:33pm
d