mutakhir

Latheefa Koya dipanggil bantu siasatan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS akan memanggil beberapa individu, termasuk Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya berhubung pendedahan sembilan rakaman audio oleh agensi berkenaan, minggu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sudah menerima sembilan rakaman audio berkenaan daripada SPRM.

“Siasatan lanjut berhubung rakaman terbabit sedang giat dijalankan dalam semua aspek termasuk dari mana dan bagaimana ia diperoleh, selain menyiasat sama ada kandungannya tulen atau sebaliknya.

“Pada masa sama, kami akan memanggil beberapa individu termasuk Latheefa Koya untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 203 A Kanun Keseksaan, Seksyen 218 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 8 Januari lalu, SPRM mendedahkan sembilan audio konspirasi jenayah tertinggi membabitkan rakaman perbualan tujuh individu termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Selain Najib, perbualan suara itu turut dikatakan membabitkan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin serta Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan dan Ketua Eksekutif Mubadala Development Company (MDC) Khaldoon Al-Mubarak.

Ia didedahkan kepada umum dan diperdengarkan kira-kira 45 minit menerusi sidang media oleh Latheefa di Putrajaya.

Disiarkan pada: January 13, 2020 @ 7:09pm
d