mutakhir

Terima kasih Harian Metro...ramai membantu

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

“SAYA harap penderma tidak keliru dengan penama yang ada pada akaun bank itu kerana ia didaftarkan atas nama isteri, Norlaila Kadri, 54. Manakala anak (Nur Mardhiah) adalah penama kedua selain akaun itu adalah akaun bersama.

“Terima kasih kepada yang menderma. Sumbangan anda memberi kekuatan dan semangat untuk anak saya menghabiskan pembelajarannya di sana (Mesir),” ujar Mohd Ashar Misrani, 56.

Mohd Ashar adalah bapa kepada Nur Mardhiah Mohd Ashar, 29, yang sedang berada di tahun akhir jurusan perubatan Universiti Mansoura, Mesir.

Harian Metro semalam melaporkan, rintihan Mohd Ashar yang merayu orang ramai membantu anak perempuannya mengumpul dana sebanyak RM 9,000 bagi membayar kos yuran pengajian di luar negara yang tertunggak.

Dia yang menetap di Taman Jugra Jaya, Banting, Selangor, meluahkan rasa terkilan dan kecewa segelintir pihak melontarkan kata-kata negatif dan menuduhnya menggunakan duit sumbangan itu untuk kepentingan peribadi.

“Tidak terlintas dalam fikiran saya untuk menggunakan duit sumbangan ke arah perkara lain (kepentingan peribadi). Itu amanah dari penderma.

“Apabila rakan sekampung menceritakan perkara ini (tuduhan) kepada saya, saya hanya mendiamkan diri dan tidak mahu memanjangkan cerita.

“Kalau tidak percaya juga perkara ini (minta bantuan), datanglah berjumpa dengan saya di rumah dan saya akan buktikan,” katanya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) hilang penglihatan selain menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Maybank 162058890202 atas Nur Mardhiah Mohd Ashar /Norlaila Kadri atau menghubungi Mohd Ashar di talian 019-3411741

Terdahulu, tular di Facebook berhubung hasrat Nur Mardhiah yang memerlukan sumbangan orang ramai bagi menampung kos pengajiannya di universiti itu.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai bantuan dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak RM 9,000 pada 10 Januari lalu, Mohd Ashar yang juga asnaf berkata, duit berkenaan sudah dimasukkan ke dalam akaunnya.

“Saya hilang penglihatan sejak 13 tahun lalu disebabkan penyakit kencing manis, sekali gus kedua-dua buah pinggang rosak dan saya perlu jalani dialisis.

“Alhamdulilah, kos dialisis sebanyak RM 4,000 sebulan ditanggung sepenuhnya oleh LZS dan tidak termasuk ujian darah, ubat-ubatan dan kenderaan untuk pergi ke tempat dialisis,” katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2020 @ 8:20pm
d